Wednesday, August 22, 2012

Meraikan Eidul Fitri Bersama PAS Terengganu

Sambutan Ramah Mesra Eidul Fitri Bersama Perantau Anak Terengganu di kuala Ibai Pasa 2 Syawal 20 Ogos 2012
Menghadiri rumah Terbuka Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang di Rusila pada 1 Syawal 19 ogos 2012


Saturday, August 11, 2012

DAPSY membuat laporan polis terhadap Utusan Malaysia

DAPSY telah membuat laporan polis terhadap Utusan Malaysia di IPD, Ipoh bagi tajuk utama muka depannya - "Sokong DAP Haram".

Semalam, tajuk akhbar oleh Utusan bertulis "Sokong DAP Haram". Laporannya menuduh bahawa DAP tidak menerima Perlembagaan Persekutuan, dan selanjutnya membuat perbandingan antara MCA dan MIC yang dikatakan bahawa perjuangan mereka tidak mengancam kedudukan Islam dan orang Islam, dan secara tidak langsung mengkatagorikan DAP sebagai "kafir harbi" yang menentang kedudukan Islam bawah Pelembagaan Persekutuan.

Ini merupakan sebuah laporan palsu berniat jahat, berbentuk hasutan dan fitnah. DAP merupakan sebuah parti berbilang bangsa, kami menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara dan kami menghormati kebebasan beragama sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Pendirian kami tentang hal ini cukup jelas. Malangnya, Utusan terus menerus dengan laporan tidak berasas dan penipuan, bertujuan untuk menghasut sentimen perkauman dan keagamaan yang jelas sekali melanggar etika kewartawanan yang asas.

PRU13 semakin hampir dan Utusan sebagai lidah rasmi UMNO pada kali ini telah memberikan laporan dengan tujuan jelas untuk mencipta ketegangan antara kaum dan agama, juga untuk membantu tuan politik mereka untuk mencapai agenda politik mereka. Ini satu fitnah yang amat besar terhadap DAP, yang juga merupakan sebahagian daripada Kerajaan, dan menaikkan kebencian dan tidakpuashatian terhadap DAP. Polis patut siasat tentang hal ini.

Tambahan pula, dalam bulan kemerdekaan ini, laporan Utusan ini telah memusnahkan slogan 1Malaysia Najib, dan cuba menjatuhkan rakyat Malaysia ke dalam kancah ketidakharmonian kaum dan agama sekali lagi.

Kejayaan 5 negeri (termasuk tempoh sekejap di Perak) telah memberikan tekanan kepada BN pada PRU akan datang. Apabila BN gagal untuk menyamai prestasi negeri-negeri PR, mereka hanya bergantung kepada 3R iaitu race (kaum), religion (agama) dan royal (raja) untuk memancing undi. Ini adalah politik murahan yang akan mengakibatkan sistem demokrasi di negara semakin kebelakang. Rakyat harus menggunakan undi mereka untuk mengatakan TIDAK kepada semua ini.

Demi mengekalkan kuasa mereka, UMNO menggunakan sebelah tangan untuk menghasut sentimen perkauman dan keagamaan kepada orang Melayu dan menggunakan sekutu mereka dalam BN iaitu MCA, MIC dan Gerakan untuk menuduh DAP menyokong Negara Islam kepada masyarakat Cina. Ini juga satu lagi bentuk fitnah dan kami menyeru MCA, MIC dan Gerakan untuk menyatakan pendirian mereka dalam hal ini, sama ada bersetuju dengan laporan Utusan Malaysia bahawa DAP adlah dikelaskan seolah-olah sebagai 'kafir harbi'.

Kenyataan media oleh Wong Kah Woh di Ipoh pada hari Khamis, 9hb Ogos 2012

Thursday, August 9, 2012

PAS bidas ‘fatwa’ Utusan yang kata haram sokong DAP


KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Fitnah Utusan Malaysia melalui kenyataan seorang guru pondok yang juga penceramah pro-UMNO adalah salah kerana berasaskan fakta yang salah dan melanggar bidang kuasanya tanpa mengikut hukum-hukum Islam.


Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, membidas kenyataan guru pondok itu yang disiarkan di muka depan Utusan hari ini kerana ia dibuat tidak mengikut hukum tetapi untuk menyenangkan hati para pemimpin UMNO.

Sepatutnya (keluar hukum itu) bawah Majlis Fatwa Kebangsaan. Kenyataan beliau tidak berdasarkan maklumat yang tepat, hanya (berdasarkan) satu pihak sahaja untuk mengelurkan hukum.

Kalau kita lihat, penentangan MCA tentang hudud lebih hebat daripada DAP sehingga beri amaran kepada UMNO (jika menyokong hudud),” katanya, sebagaimana yang dilaporkan oleh Malaysiakini hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menganggap kenyataan guru pondok pro-UMNO itu sebagai tidak bermaklumat serta tidak sahih dan tidak perlu bagi PAS untuk melayannya.

Dalam perkara serupa, Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, Ustaz Abdul Rahman Yunus mengingatkan guru pondok tersebut supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang “boleh diketawakan oleh orang kampung”.

Menurut laporan Harakahdaily, beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kubang Kerian turut menyebut, “Kenyataan yang dikeluarkan itu sudah jelas menggambarkan UMNO benar-benar kepupusan idea untuk berdepan dengan PAS dan Pakatan Rakyat.”

Utusan Malaysia sebagai lidah rasmi UMNO dalam laporan muka depannya memetik kenyataan guru agama pro-UMNO itu sebagai mendakwa DAP sebagai kafir harbi kerana “secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta perlaksanaan hudud.” 

Laporan Utusan itu bagaimanapun menyatakan bahawa MCA sebagai “bukan kafir harbi kerana tidak membawa kemudaratan kepada kedudukan Islam dan umatnya”. 

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek telah beberapa kali dilaporkan oleh media arus perdana sebagai menghina hukum hudud yang dikatakannya akan membawa kemusnahan kepada Malaysia kerana ia adalah hukum yang kejam. – Roketkini.com

Wednesday, August 8, 2012

Tajuk utama muka hadapan akhbar Utusan Malaysia “Haram Sokong DAP” bukti berkecainya polisi 1Malaysia Najib

Dengan menghitung 23 hari sebelum sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 dan 39 hari lagi bagi sambutan Hari Malaysia Ke-49, semua rakyat Malaysia yang patriotik dan nasionalis sedang menghadapi masa yang pahit apabila menyaksikan usaha-usaha segelintir untuk memisahkan dan memecahbelahkan rakyat daripada usaha untuk menyatupadukannya.

Hari ini, tajuk utama muka hadapan akhbar Utusan Malaysia, lidah rasmi UMNO, telah melaporkan berita “Haram Sokong DAP” memberikan gambaran bahawa polisi terkemuka 1Malaysia kepunyaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah gagal dalam mewujudkan satu bangsa Malaysia dimana setiap rakyat Malaysia menganggap dirinya sebagai rakyat Malaysia dahulu dan kemudiannya mengikut kaum, agama, negeri dan status.

Tajuk utama Utusan Malaysia yang amat berbisa dan pada masa yang sama berskandal - “Haram Sokong DAP” merupakan dakwaan mengarut Utusan Malaysia, UMNO dan pimpinan Najib!

Adakah Utusan Malaysia kini diberi peranan untuk menimbulkan dan mengapi-apikan ketegangan dan konflik perkauman di Malaysia?

Persoalannya bukanlah ulama atau guru pondok yang mengeluarkan kenyataan tersebut tetapi bagaimana akhbar nasional kepunyaan UMNO yang sepatutnya bertanggungjawab diatas beritanya, tergamak untuk melaporkan berita sebegini dengan tajuk utamanya yang begitu berbisa sekali. Tiada lagi bukti yang lebih kukuh yang menuding kepada penghancuran polisi 1Malaysia Najib dalam tiga tahun ini yang sepatutnya menjadi penyumbang utama kepada usaha pembangunan negara dalam lima dekad ini!

Ataupun, adakah Najib mengaku bahawa beliau telah hilang kawalan keatas Utusan Malaysia dan akhbar lidah rasmi UMNO kini didalangi konco-konco UMNO yang tidak mempedulikannya atau polisi rasmi UMNO mahupun Barisan Nasional?

Saya tidak hairan jika perkara yang menjijikkan seperti ini dilakukan terhadap UMNO atau mana-mana parti komponen BN, dengan menggunakan tajuk utama yang memualkan ini “Haram Sokong UMNO”, “Haram Sokong MCA”, “Haram Sokong MCA”, Kementerian Dalam Negeri pastinya akan mengharamkan suratkhabar tersebut.

Tetapi sebaliknya, apa yang dapat dilihat adalah Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan yang memerintah sekarang nampaknya membiarkan barah ini merebak ataupun memperakukan tindakan keji yang tidak bertanggungjawab, meluatkan dan berunsur fitnah dalam penerbitan akhbar ini.

Mungkinkah wujud satu konspirasi untuk membuktikan benar ramalan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam bulan Jun yang lalu bahawa pilihanraya umum yang akan datang ini akan memfokuskan kepada isu perkauman kerana mengikut tanggapan beliau “negara Malaysia jauh lebih rasis sekarang berbanding dengan sebelumnya”!

Adakah ini sebab mengapa angkatan tentera seramai 10,000 ‘cybertrooper’ UMNO/Barisan Nasional telah direkrut untuk memutarbelitkan dan menyebar fitnah dan berita palsu, seperti yang dapat dilihat dalam filem “Tanda Putera” yang ditaja kerajaan berhubung dengan rusuhan 13 Mei 1969 dengan pelbagai dakwaan liar, tidak berasas dan berbisa bahawa saya telah memprovokasi dan mencetuskan rusuhan tersebut dalam perhimpunan jalanan, membunuh Melayu serta kencing dibawah tiang bendera di rumah kediaman Menteri Besar Selangor yang jelas fitnah semata-mata kerana saya tidak berada di Kuala Lumpur pada 11, 12 dan 13 Mei 1969?

Akhbar yang diberi kebebasan untuk menerbitkan tajuk utama berita seperti “Haram Sokong DAP” jelas sebuah akhbar yang anti-nasional dan anti-Malaysia.

Rakyat Malaysia dan warga dunia sedang memerhatikan tindak tanduk negara ini.

Adakah Najib yang melaung-laungkan seruan supaya “golongan yang sederhana mesti bersatu padu” dalam forum-forum antarabangsa, akan berani mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia sebagai satu contoh sifat kewartawanan yang buruk, tidak bertanggungjawab, ekstrim, menghasut dan anti-nasional untuk menimbulkan ketegangan diantara kaum, prasangka buruk diantara agama dan memperlekehkan perpaduan kaum di Malaysia?

Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 8hb Ogos 2012