Thursday, December 15, 2011

Adakah pemimpin UMNO akan menuduh JPA rasis kerana hapuskan 29,000 jawatan kerajaan?

Adakah para pemimpin UMNO dan konco-konco mereka akan menuduh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai rasis kerana menghapuskan 29,000 jawatan dalam kerajaan?


Adakah mana-mana kumpulan pelampau kaum, termasuk lidah rasmi UMNO, iaitu Utusan Malaysia, akan mendakwa kononnya JPA menghina Melayu kerana telah menyediakan sistem saraan baru yang boleh “memecat” kakitangan awam yang malas dan tidak cekap?

Di bawah Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), kakitangan kerajaan yang mendapat kurang dari 70 markah penilaian, mereka akan diberi amaran, dan jika tiada peningkatan dalam masa 6 bulan, mereka akan “dipecat” keluar melalui satu dasar “pintu keluar”.

Semalam, Ketua Pengarah JPA Tan Sri Abu Bakar Abdullah menyatakan bahawa pemansuhan 29,000 jawatan awam serta memperkenalkan SBPA adalah usaha untuk “mengawal saiz” kakitangan awam.

“Sukar hendak mengatakan bahawa saiz tenaga kerja sektor awam kita terlalu besar atau terlalu kecil…dan saya tidak mengatakan sama ada tenaga kerja perkhidmatan kita terlalu besar atau pun kecil,” katanya dipetik oleh portal berita The Malaysian Insider.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, pengumuman Abu Bakar membuktikan bahawa Datuk Seri Najib Razak dan para pemimpin UMNO lain hanyalah oportunis politik kerana telah menuduh Pakatan Rakyat sebagai anti-perkhidmatan awam dan anti-Melayu.

“Sebenarnya pemimpin UMNO yang ingin memecat kakitangan awam tetapi mereka pula yang mendakwa Pakatan Rakyat adalah rasis. Najib seolah-olah sengaja mahu mencetuskan perbalahan di antara orang Melayu dan bukan Melayu demi kemandiran politiknya, termasuk menyebar fitnah dan menandatangani ‘sijil kematian’ slogan 1Malaysia-nya sendiri,” ujarnya.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, dalam pertemuan Perdana Menteri dengan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) baru-baru ini, beliau telah menuduh

Pakatan Rakyat mahu mengurangkan jumlah kakitangan kerajaan menjadikannya separuh.
Katanya, tuduhan itu adalah fitnah semata-mata kerana tiada sebarang cadangan dari Pakatan Rakyat untuk melaksanakan perkara tersebut.

“Sebelum ini, dalam satu forum di mana seorang hadirin mengajukan saya satu soalan, dan saya cuma mencadangkan bahawa kita boleh mempertimbangkan pilihan untuk seseorang kakitangan awam bersara awal atau memecat sesiapa yang melanggar disiplin dan peraturan.

“Contohnya tindakan boleh diambil terhadap pegawai atau kakitangan awam yang telah membeli teropong yang hanya bernilai RM1,940 pada harga RM56,350 (sebagaimana yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010).

“Saya juga telah menekankan bahawa langkah-langkah drastik tidak diperlukan kerana Pakatan Rakyat tetap memerlukan khidmat kakitangan awam jika berkuasa selepas pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Sebelum ini, Pua yang mencadangkan saiz perkhidmatan awam dikecilkan dengan memastikan mereka yang mempunyai prestasi cemerlang dikekal dan dinaikkan pangkat manakala yang tidak cekap, malas serta tidak amanah dikeluarkan daripada perkhidmatan.

Kenyataan itu telah diputarbelitkan oleh kepimpinan UMNO serta Utusan dan media massa lain yang dikawal oleh UMNO-BN untuk menuduh Pua dan Pakatan Rakyat sebagai anti-Melayu.

Utusan juga melaporkan bahawa Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) marah dengan Pua kerana didakwa mahu mengurangkan jumlah kakitangan awam yang disifatkan sebagai cadangan tidak masuk akal. – Roketkini.com