Tuesday, July 23, 2013

Kaum Tionghua Kuala Besut Teruja Mahu Cipta Sejarah 16:16

Pengerusi DAP negeri Terengganu, Ng Chai Hing berkata, kaum Tionghua Kuala Besut sebenarnya terlalu teruja untuk melihat PAS menang seklaigus menjadikan kedudukan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu 16:16.

Ng Chai HingKatanya, berdasarkan pertemuan beliau dengan kaum itu dalam program kempen pilihanraya, rata-rata mereka memberi perakuan akan menyokong calon PAS Haji Endut@Azlan Yusof yang lebih dikenali sebagai ‘Che Long’.

Beliau menolak dakwaan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa 90 peratus orang Cina di Kuala Besut menyokong calon BN pada PRK ini.

“Rata-rata masyarakat Cina di Kuala Besut tidak sabar untuk melihat kedudukan kerusi di Terangganu menjadi 16:16,” katanya ketika ditemui membantu jentera kempen PAS di Kuala Besut hari ini.

Katanya, walaupun orang Cina di sini adalah ahli MCA tetapi tidak semestinya mereka mengundi calon BN pada PRK Kuala Besut.

“Daripada maklum balas yang saya terima rata-rata orang Cina tidak sabar untuk melihat 16:16,” katanya.

PAS dalam kempen PRK Dun Kuala Besut menggunakan tema ‘16:16 Terengganu Baru’.
Terdahulu, Liow Tiong Lai dalam siri berkempen di Kuala Besut tiga hari lepas menyatakan 90 peratus orang Cina di sini akan kembali kepada BN.

Sementara itu, Ng Chai berkata calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman boleh dibatalkan daripada bertanding di Dun Kuala Besut kerana perbelanjaan melampaui had yang dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, di dalam peraturan pilihan raya SPR hanya menghadkan setiap calon yang bertanding di peringkat Dun sebanyak RM100,000.

Katanya, jumlah perbelanjaan yang besar melayakkan calon BN dibatalkan membenarkan calon PAS menang percuma.

“Sebelum penamaan calon, calon itu dah melakukan kesalahan kerana mengagih bantuan Bakti Remaja kepada pengundi yang berumur 21 tahun hingga 40 tahun pada PRK ini,” katanya.

Justeru, beliau menyifatkan PRK Kuala Besut mencatat rekod sejarah politik Malaysia di Terengganu kerana dalam masa 10 hari hampir RM400 juta ditabur kepada rakyat.

“Tak marah nak bantu rakyat Kuala Besut, tetapi biarlah berterusan lepas PRK buat lagi projek untuk bantu rakyat miskin di sini,” katanya.

SPR selaku pengadil di dalam pilihan raya ini, katanya jangan hanya memekakkan telinga dengan apa kesalahan yang dilakukan oleh kerajaan BN.

“SPR, ada mata tapi buta, ada mulut tapi bisu, ada telinga tapi pekak,” katanya sinis.