Dengan menghitung 23 hari sebelum sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 dan
39 hari lagi bagi sambutan Hari Malaysia Ke-49, semua rakyat Malaysia
yang patriotik dan nasionalis sedang menghadapi masa yang pahit apabila
menyaksikan usaha-usaha segelintir untuk memisahkan dan memecahbelahkan
rakyat daripada usaha untuk menyatupadukannya.
Hari ini, tajuk utama muka hadapan akhbar Utusan Malaysia, lidah
rasmi UMNO, telah melaporkan berita “Haram Sokong DAP” memberikan
gambaran bahawa polisi terkemuka 1Malaysia kepunyaan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak telah gagal dalam mewujudkan satu bangsa Malaysia
dimana setiap rakyat Malaysia menganggap dirinya sebagai rakyat
Malaysia dahulu dan kemudiannya mengikut kaum, agama, negeri dan status.
Tajuk utama Utusan Malaysia yang amat berbisa dan pada masa yang
sama berskandal - “Haram Sokong DAP” merupakan dakwaan mengarut Utusan
Malaysia, UMNO dan pimpinan Najib!
Adakah Utusan Malaysia kini diberi peranan untuk menimbulkan dan mengapi-apikan ketegangan dan konflik perkauman di Malaysia?
Persoalannya bukanlah ulama atau guru pondok yang mengeluarkan
kenyataan tersebut tetapi bagaimana akhbar nasional kepunyaan UMNO yang
sepatutnya bertanggungjawab diatas beritanya, tergamak untuk melaporkan
berita sebegini dengan tajuk utamanya yang begitu berbisa sekali. Tiada
lagi bukti yang lebih kukuh yang menuding kepada penghancuran polisi
1Malaysia Najib dalam tiga tahun ini yang sepatutnya menjadi penyumbang
utama kepada usaha pembangunan negara dalam lima dekad ini!
Ataupun, adakah Najib mengaku bahawa beliau telah hilang kawalan
keatas Utusan Malaysia dan akhbar lidah rasmi UMNO kini didalangi
konco-konco UMNO yang tidak mempedulikannya atau polisi rasmi UMNO
mahupun Barisan Nasional?
Saya tidak hairan jika perkara yang menjijikkan seperti ini
dilakukan terhadap UMNO atau mana-mana parti komponen BN, dengan
menggunakan tajuk utama yang memualkan ini “Haram Sokong UMNO”, “Haram
Sokong MCA”, “Haram Sokong MCA”, Kementerian Dalam Negeri pastinya akan
mengharamkan suratkhabar tersebut.
Tetapi sebaliknya, apa yang dapat dilihat adalah Perdana Menteri,
Menteri Dalam Negeri dan kerajaan yang memerintah sekarang nampaknya
membiarkan barah ini merebak ataupun memperakukan tindakan keji yang
tidak bertanggungjawab, meluatkan dan berunsur fitnah dalam penerbitan
akhbar ini.
Mungkinkah wujud satu konspirasi untuk membuktikan benar ramalan
Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam bulan Jun yang lalu bahawa pilihanraya
umum yang akan datang ini akan memfokuskan kepada isu perkauman kerana
mengikut tanggapan beliau “negara Malaysia jauh lebih rasis sekarang
berbanding dengan sebelumnya”!
Adakah ini sebab mengapa angkatan tentera seramai 10,000
‘cybertrooper’ UMNO/Barisan Nasional telah direkrut untuk
memutarbelitkan dan menyebar fitnah dan berita palsu, seperti yang dapat
dilihat dalam filem “Tanda Putera” yang ditaja kerajaan berhubung
dengan rusuhan 13 Mei 1969 dengan pelbagai dakwaan liar, tidak berasas
dan berbisa bahawa saya telah memprovokasi dan mencetuskan rusuhan
tersebut dalam perhimpunan jalanan, membunuh Melayu serta kencing
dibawah tiang bendera di rumah kediaman Menteri Besar Selangor yang
jelas fitnah semata-mata kerana saya tidak berada di Kuala Lumpur pada
11, 12 dan 13 Mei 1969?
Akhbar yang diberi kebebasan untuk menerbitkan tajuk utama berita
seperti “Haram Sokong DAP” jelas sebuah akhbar yang anti-nasional dan
anti-Malaysia.
Rakyat Malaysia dan warga dunia sedang memerhatikan tindak tanduk negara ini.
Adakah Najib yang melaung-laungkan seruan supaya “golongan yang
sederhana mesti bersatu padu” dalam forum-forum antarabangsa, akan
berani mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia sebagai satu contoh
sifat kewartawanan yang buruk, tidak bertanggungjawab, ekstrim,
menghasut dan anti-nasional untuk menimbulkan ketegangan diantara kaum,
prasangka buruk diantara agama dan memperlekehkan perpaduan kaum di
Malaysia?
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 8hb Ogos 2012