Pengerusi DAP negeri Terengganu, Ng Chai Hing berkata, kaum Tionghua
Kuala Besut sebenarnya terlalu teruja untuk melihat PAS menang seklaigus
menjadikan kedudukan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu 16:16.
Katanya,
berdasarkan pertemuan beliau dengan kaum itu dalam program kempen
pilihanraya, rata-rata mereka memberi perakuan akan menyokong calon PAS
Haji Endut@Azlan Yusof yang lebih dikenali sebagai ‘Che Long’.
Beliau menolak dakwaan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong
Lai bahawa 90 peratus orang Cina di Kuala Besut menyokong calon BN pada
PRK ini.
“Rata-rata masyarakat Cina di Kuala Besut tidak sabar untuk melihat
kedudukan kerusi di Terangganu menjadi 16:16,” katanya ketika ditemui
membantu jentera kempen PAS di Kuala Besut hari ini.
Katanya, walaupun orang Cina di sini adalah ahli MCA tetapi tidak semestinya mereka mengundi calon BN pada PRK Kuala Besut.
“Daripada maklum balas yang saya terima rata-rata orang Cina tidak sabar untuk melihat 16:16,” katanya.
PAS dalam kempen PRK Dun Kuala Besut menggunakan tema ‘16:16 Terengganu Baru’.
Terdahulu, Liow Tiong Lai dalam siri berkempen di Kuala Besut tiga
hari lepas menyatakan 90 peratus orang Cina di sini akan kembali kepada
BN.
Sementara itu, Ng Chai berkata calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul
Rahman boleh dibatalkan daripada bertanding di Dun Kuala Besut kerana
perbelanjaan melampaui had yang dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR).
Katanya, di dalam peraturan pilihan raya SPR hanya menghadkan setiap calon yang bertanding di peringkat Dun sebanyak RM100,000.
Katanya, jumlah perbelanjaan yang besar melayakkan calon BN dibatalkan membenarkan calon PAS menang percuma.
“Sebelum penamaan calon, calon itu dah melakukan kesalahan kerana
mengagih bantuan Bakti Remaja kepada pengundi yang berumur 21 tahun
hingga 40 tahun pada PRK ini,” katanya.
Justeru, beliau menyifatkan PRK Kuala Besut mencatat rekod sejarah
politik Malaysia di Terengganu kerana dalam masa 10 hari hampir RM400
juta ditabur kepada rakyat.
“Tak marah nak bantu rakyat Kuala Besut, tetapi biarlah berterusan
lepas PRK buat lagi projek untuk bantu rakyat miskin di sini,” katanya.
SPR selaku pengadil di dalam pilihan raya ini, katanya jangan hanya
memekakkan telinga dengan apa kesalahan yang dilakukan oleh kerajaan BN.
“SPR, ada mata tapi buta, ada mulut tapi bisu, ada telinga tapi pekak,” katanya sinis.