"Untuk Gerakan, seandainya ia menganggap ini adalah sesuatu yang salah, dia seharusnya bercakap sesuatu. Tetapi ia masih diam. Hanya apabila saya menyerah perletakan jawatan saya, baru beliau (Koh Tsu Koon) cuba untuk memanggil saya, memujuk saya untuk tidak tinggalkan (parti)."
"Ini cara yang salah! Beliau tidak seharusnya memujuk saya, beliau seharusnya memujuk Najib. Ubah pandangan dia (Najib)! Beliau (Koh Tsu Koon) mencari orang yang salah, saya bukan siapa dalam Gerakan. Beliau harus beritahu Najib, bukan saya... Keutamaannya salah!"

Dalam satu wawancara eksklusif dengan MerdekaReview, Delren berkata notis letak jawatan telah dihantar kepada pimpinan tempatan kelmarin, dan melalui sms kepada Kohilan, Tan Lian Hoe dan Koh Tsu Koon, pagi tadi. Beliau menunjukkan panggilan Koh Tsu Koon yang tidak dijawab olehnya, pagi tadi.
Ketika ditanya faktor yang mendorong beliau keluar parti, Delren berkata, "Gerakan masih merupakan anak tiri kepada UMNO. Masa dia masuk dalam Barisan Nasional dulu, dia setaraf dengan UMNO. Apa pendapat dia, UMNO boleh terima. Masa Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, zaman dulu... Tapi sekarang, Gerakan seolah-olah macam anak tiri."

Meskipun fenomena ini telah berlaku sejak lama lagi, tetapi beliau masih memilih untuk memberi peluang kepada Koh Tsu Koon. "Tapi nampaknya, dia (Koh Tsu Koon) tukar, dia kata dia tak akan bertanding dalam pilihan raya saja. Dia tak kata dia nak letak jawatan. Dia tak kata apa dia nak lakukan," beliau menyatakan kekecewaannya terhadap Koh Tsu Koon dan pimpinan atasan dalam Gerakan.
Ketika dilontarkan andaian Koh Tsu Koon berundur, apakah beliau akan kembali yakin kepada Gerakan, "Kena tengok arah mereka (pimpinan baru) nak pergi."
Delren hadir dalam Kongres Nasional Tahunan Keadilan yang berlangsung semalam dan hari ini, di Pulai Springs Resort, Johor Bahru. Beliau menerima temuramah MerdekaReview di sini, tadi. Ketika ditanya mengapa PKR dipilih, beliau berkata ideologi perjuangan PKR hampir sama kepada Gerakan, dengan komposisi anggota yang berbilang kaum.
Ketika ditanya apakah suasana Kongres Nasional PKR berbeza dengan Mesyuarat Agung Gerakan, "Lebih kurang sama," jawab Delren.