KUALA TERENGGANU – Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Heng tidak bimbang
terhadap kempen MCA yang terus memainkan isu hudud untuk menakutkan
masyarakat Tionghoa menyokong Pakatan Rakyat (PR).
Menurutnya, hudud adalah isu lapuk yang langsung tidak menjejaskan sokongan kaum tersebut terhadap pembangkang.
Beliau menjelaskan, pengundi sudah celik politik dan faham mengenai isu
mana yang sepatutnya diberi perhatian dalam memastikan rakyat di negara
ini mendapat hak yang sewajarnya.
“Rakyat Tionghoa lebih mengambil tahu mengenai isu penyelewengan,
gejala rasuah yang berleluasa di kalangan pemimpin BN, selain isu
diskriminasi.
“Mereka faham isu ini yang menyebabkan rakyat tidak mendapat hak
sebenar akibat penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Sepatutnya bahagian
tersebut diagihkan kepada rakyat miskin tetapi diseleweng untuk tujuan
tertentu,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga tidak perlu menggula-gulakan rakyat
dengan projek yang menelan belanja besar dan melampau tinggi, sedangkan
tidak mampu mendatangkan manfaat kepada rakyat sebagaimana kegagalan
Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Sementara itu, beliau yakin sokongan bukan Melayu di Pantai Timur akan
meningkat sebagaimana berlaku di kawasan Pantai Barat pada pilihan raya
umum lalu.
Beliau menjelaskan, senario politik ketika ini memperlihatkan bahawa
rakyat mahukan perubahan yang mendatangkan kebaikan kepada mereka.
“Mereka mahu lihat rakyat didahulukan, bukan pemimpin BN yang
didahulukan kerana apa yang dilihat hari ini, pemimpin BN kaya raya
tetapi keadaan itu tidak berlaku kepada rakyat,” katanya.
Chai Heng turut menggesa rakyat melakukan perubahan awal dan meminta
mereka tidak menunggu lebih lama untuk membuat keputusan tersebut.
No comments:
Post a Comment