Rakan-rakan PAS seperti Dewan
Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dan DAP Terengganu masing-masing menyatakan
kesediaan bagi membantu PAS dan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU)
ke-13.
Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing
berkata pihaknya sentiasa bersedia bagi membantu rakan-rakan dalam Pakatan
Rakyat berkempen pada pilihan raya akan datang.
Katanya, DAP Terengganu akan memberikan
kerjasama padu bagi memenangkan PAS dan Pakatan Rakyat di negeri ini.
“Kita (DAP) sentiasa bersedia untuk bantu
rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat berkempen (pilihan raya).
“Kita akan turun mana-mana tempat yang
perlukan bantuan DAP untuk berkempen, mengedar risalah dan berceramah di
kawasan Tionghua (Cina). Kita ‘standby’ pada bila-bila masa yang diperlukan,”
ujarnya kepada Harakah.
Beliau berkata demikian selepas Majlis
Iftar Bersama Presiden PAS dan Dana PRU12 PAS kawasan Marang, di Restoran
Maidah Rusila, Marang, 27 Julai lalu.
Menurutnya, komitmen itu diberi bagi
mempastikan Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu tumbang pada
PRU13.
Pengerusi DHPP Terengganu, Dr Bala Chandran
Gopal Krisnan menegaskan kewujudan dewan (DHPP) ini bagi membantu kemenangan PAS
di negeri Terengganu.
Katanya, PAS mesti dimenangkan pada pilihan
raya akan datang bagi menggantikan Umno-BN di Terengganu.
“Kita (DHPP) bersedia 100 peratus untuk
bekerja memenangkan PAS dalam pilihan raya akan datang. Peranan kita (DHPP)
bekerja untuk kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat.
“Umno-BN wajib dijatuhkan dan PAS mesti
dimenangkan untuk menggantikan kerajaan di Terengganu ini,” tegasnya.
Menurutnya, meski pun kaum India
hanyalah minoriti serta jumlah pengundi yang kecil tetapi sokongan kepada PAS
akan berlaku secara senyap.
Rakannya, Bendahari DHPP Pusat, Tan Chin
Heng menyifatkan kerajaan BN Terengganu bakal tumbang pada pilihan raya akan
datang.
Katanya, kerajaan BN yang ditunjangi oleh
Umno turut kehilangan sokongan dari para pengundi Tionghua di negeri ini.
“Saya lihat keadaan semasa hari ini,
kerajaan Umno-BN boleh tumbang pada pilihan raya akan datang. Saya yakin itu
akan berlaku kelak.
“Mereka (BN) pun hilang sokongan kaum
Tionghua di negeri ini, walau pun tidak secara terbuka, tapi secara senyap
boleh berlaku pada PRU13 ini,” ujarnya yang juga selaku Bendahari DHPP
Terengganu.
Menurutnya, DHPP cukup selesa dengan PAS
dan akan mempastikan kemenangan kepada calon-calon PAS di kawasan ada pengundi
bukan Islam.