Tuesday, July 31, 2012

Sedia bantu PAS menangi pilihan raya


Rakan-rakan PAS seperti Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dan DAP Terengganu masing-masing menyatakan kesediaan bagi membantu PAS dan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing berkata pihaknya sentiasa bersedia bagi membantu rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat berkempen pada pilihan raya akan datang.

Katanya, DAP Terengganu akan memberikan kerjasama padu bagi memenangkan PAS dan Pakatan Rakyat di negeri ini.

“Kita (DAP) sentiasa bersedia untuk bantu rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat berkempen (pilihan raya).

“Kita akan turun mana-mana tempat yang perlukan bantuan DAP untuk berkempen, mengedar risalah dan berceramah di kawasan Tionghua (Cina). Kita ‘standby’ pada bila-bila masa yang diperlukan,” ujarnya kepada Harakah.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Iftar Bersama Presiden PAS dan Dana PRU12 PAS kawasan Marang, di Restoran Maidah Rusila, Marang, 27 Julai lalu.

Menurutnya, komitmen itu diberi bagi mempastikan Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu tumbang pada PRU13.

Pengerusi DHPP Terengganu, Dr Bala Chandran Gopal Krisnan menegaskan kewujudan dewan (DHPP) ini bagi membantu kemenangan PAS di negeri Terengganu.

Katanya, PAS mesti dimenangkan pada pilihan raya akan datang bagi menggantikan Umno-BN di Terengganu.

“Kita (DHPP) bersedia 100 peratus untuk bekerja memenangkan PAS dalam pilihan raya akan datang. Peranan kita (DHPP) bekerja untuk kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat.

“Umno-BN wajib dijatuhkan dan PAS mesti dimenangkan untuk menggantikan kerajaan di Terengganu ini,” tegasnya.

Menurutnya, meski pun kaum India hanyalah minoriti serta jumlah pengundi yang kecil tetapi sokongan kepada PAS akan berlaku secara senyap.

Rakannya, Bendahari DHPP Pusat, Tan Chin Heng menyifatkan kerajaan BN Terengganu bakal tumbang pada pilihan raya akan datang.

Katanya, kerajaan BN yang ditunjangi oleh Umno turut kehilangan sokongan dari para pengundi Tionghua di negeri ini.
“Saya lihat keadaan semasa hari ini, kerajaan Umno-BN boleh tumbang pada pilihan raya akan datang. Saya yakin itu akan berlaku kelak.

“Mereka (BN) pun hilang sokongan kaum Tionghua di negeri ini, walau pun tidak secara terbuka, tapi secara senyap boleh berlaku pada PRU13 ini,” ujarnya yang juga selaku Bendahari DHPP Terengganu.

Menurutnya, DHPP cukup selesa dengan PAS dan akan mempastikan kemenangan kepada calon-calon PAS di kawasan ada pengundi bukan Islam.

No comments:

Post a Comment