Sunday, March 14, 2010

DAP tiada niat kuasai, rampas kerusi milik Anwar


KUALA TERENGGANU – Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Heng menganggap tidak perlu timbul isu berhubung siapa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang perlu menjadi Ketua Pembangkang walaupun kerusi PR di Parlimen didominasi DAP ketika ini.

Beliau mendakwa, perubahan kedudukan kerusi yang berlaku dalam PR akibat pengurangan kerusi Parti Keadilan Rakyat (PR) di Parlimen menyebabkan terdapat pihak tertentu cuba mencetuskan isu perkauman.

Menurutnya, pihak terbabit dilihat cuba mengheret masalah itu dengan menakut-nakutkan orang Melayu bahawa pemimpin DAP akan menjadi Ketua Pembangkang.

“Kita nampak ada pihak tertentu yang cuba membangkitkan isu perkauman dengan mengatakan masyarakat Cina dan DAP sudah kuasai PR. Pihak berkenaan cuba meraih simpati daripada orang Melayu,” katanya.

Beliau menegaskan, orang ramai tidak patut bimbang kerana PR sudah sepakat mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang.

Menurutnya, hasrat memberi laluan kepada DAP tidak timbul sambil menyifatkan Anwar sebagai Perdana Menteri ‘menunggu’ sekiranya PR berjaya mentadbir kerajaan.-Sinar Harian

1 comment: