KUALA TERENGGANU – :Penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang bertujuan memburukkan individu tertentu terutama membabitkan pemimpin politik tidak wajar dilakukan.
Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Heng berkata, sikap itu tidak sepatutnya diamalkan dalam mana-mana parti politik, sama ada Barisan Nasional (BN) ataupun Pakatan Rakyat (PR).
“Mereka guna cara yang tidak baik untuk jatuhkan seseorang. Cara begini tidak sesuai digunakan, bukan sahaja dalam UMNO dan BN, malah tidak patut digunakan PR untuk menjatuhkan mana-mana lawan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai penyebaran SMS terbaru yang mengaitkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal dinasihatkan supaya melepaskan jawatannya.
Menurutnya, keadaan itu menggambarkan penyebar SMS terbabit hanya berani di ‘sebalik tabir’, tidak bersikap profesional dan tidak beretika.
“Pemimpin dan ahli politik profesional tidak melakukannya begitu, sebaliknya mereka yang berani akan melakukannya secara terbuka. Kerja sebegini (penyebaran SMS) adalah kerja tidak bermoral dan tidak beretika.
“Kalau mahu beliau (Ahmad) letak jawatan, buatlah dengan cara betul. Ada banyak lagi cara lain boleh dipertimbangkan,” katanya.
Menurutnya, perkara itu hanya akan memburukkan keadaan terutama kepada negara dan kerajaan yang dipilih rakyat.
Pada masa sama, beliau percaya penyebaran SMS itu dilakukan pemimpin ataupun ahli UMNO, sama ada individu yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran Ahmad ataupun mereka yang bercita-cita mahu mencapai matlamat politik. - Sinar Harian Online
No comments:
Post a Comment