Wednesday, May 19, 2010
DAP buat kejutan menang di Sibu
Parti Tindakan Demokratik Malaysia (DAP) membuat kejutan menang dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu, 16 Mei lalu.
Calonnya, Encik Wong Ho Leong berjaya merampas kerusi lima penggal milik Barisan Nasional (BN) dengan memperolehi 18,845 undi sekaligus menewaskan dua lawannya, Robert Lau Hui Yew (BN) yang mendapat 18,447 undi dan calon Bebas, Narawi Haron memperolehi 232 undi serta hilang wang pertaruhannya.
Sekali pun DAP menang dengan majoriti kecil 398 undi tetapi dikira berjaya menumbangkan ‘gergasi’ BN yang mempunyai segala kekuatan jentera serta kewangannya.
Berdasarkan maklumat kempen dari rumah ke rumah yang dilakukan oleh jentera kempen parti Pakatan Rakyat sokongan rakyat jelas memihak kepada DAP.
Pengerusi DAP Terengganu, Encik Ng Chai Hing berkata sepanjang tempoh berkempen sambutan rakyat terhadap DAP dan Pakatan Rakyat sangat baik.
Menurut beliau, setiap malam diadakan ceramah berkelompok turut mendapat sambutan di kalangan penduduk setempat serta pengundinya.
Katanya, jentera kempen juga lebih tertumpu kepada kunjungan rumah ke rumah serta bertemu secara langsung dengan para pengundi di tiga buah Dewan Undangan Negeri (Dun) di Sibu.
“Saya lihat sepanjang tempoh berkempen di sini (Sibu) sambutan rakyat dan pengundi setempat kepada DAP dan Pakatan Rakyat cukup baik.
“Saya yakin DAP boleh membuat kejutan untuk menang kali ini di Sibu kerana rakyat sudah matang dengan ‘mainan’ Barisan Nasional (BN),” jelasnya.
Menurutnya, pilihan pengundi telah ada dan hanya menunggu masa untuk mengundi calon DAP-Pakatan Rakyat pada 16 Mei lalu.
Beliau menjelaskan isu kempen tertumpu pada masalah rasuah, penyelewengan, pembaziran, kemiskinan serta kemudahan asas yang tercicir.
Katanya, masyarakat Cina, Melayu/Melanau dan Iban di Sibu sebelum ini kurang diberi perhatian oleh kerajaan BN Sarawak.
Pilihan raya kecil Sibu mempunyai seramai 54,695 pengundi berdaftar yang terdiri dari 66.7 peratus pengundi Cina, 22.1 Iban, 10.5 peratus Melanau Melayu dan lain-lain 0.7 peratus.
Kemenangan DAP di Sibu mengejutkan parti lawan sekaligus menamatkan penguasaan lima penggal oleh wakil rakyat BN di kawasan yang mempunyai 2,537 pengundi pos sebagai ‘deposit’ tetap Barisan Nasional.
Pilihan raya kecil Parlimen Sibu terpaksa diadakan ekoran kematian penyandangnya, Dato’ Robert Lau Hoi Chew yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lalu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment