Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengecam serangan kejam yang dilakukan oleh tentera Israel ke atas konvoi kapal "Freedom Flotilla" yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Palestin di Gaza yang menderita akibat pendudukan Israel di mana 16 nyawa telah terkorban dan ramai lagi tercedera. Semenanjung Gaza telah dikepung dan dikawal ketat sejak tiga tahun yang lepas.
Sikap tidak acuh terhadap nilai nyawa manusia terutama sekali terhadap mereka yang berniat baik dan aman demi menghulurkan bantuan kepada mereka yang amat memerlukannya bukan sahaja jijik malah berniat jahat lagi kejam. Serangan ke atas konvoi kapal ini sama saja seperti serangan ke atas misi bantuan gerakan Palang Merah untuk membantu orang awam yang tercedera semasa peperangan. Yang teruk sekali, serangan oleh Tentera Laut Israel ini berlaku di perairan antarabangsa.
Serangan ini berlaku semasa perbincangan damai yang baru di antara Amerika Syarikat, kerajaan Israel dan pihak berkuasa Palestin dimulakan bulan ini, bertujuan mencari penyelesaian bagi konflik yang telah pun berlarutan sejak berzaman lamanya di Timur Tengah. Serangan teratur ini mungkin bertujuan menghalang usaha rakyat Palestin ke arah pemerintahan sendiri dan bebas dari cengkaman Israel.
DAP menyeru kepada kerajaan Israel supaya bertindak dengan segera dan tanpa syarat untuk membenarkan pergerakan keluar masuk ke Gaza untuk bantuan kemanusiaan, barang dagangan dan juga individu.
Ketua misi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nation's Relief and Works Agency) di Gaza, John Ging telah menegaskan bahawa konvoi kapal "Freedom Flotilla" benar-benar diperlukan di Gaz. Ini adalah kerana empat dari lima penduduk Gaza terpaksa bergantung kepada bantuan kemanusiaan disebabkan factor-faktor ini: pengepungan oleh pihak Israel, kadar pengangguran yang tinggi, kemiskinan tegar, bekalan makanan yang tidak terjamin (food insecurity) dan kenaikan harga makanan akibat kekurangan bekalan.
DAP juga menyeru kepada kerajaan Amerika Syarikat yang dipimpin oleh Barack Obama untuk menunjukkan sikap adil dan saksama dengan mengambil tindakan keras terhadap tindakan agresif kerajaan Israel yang melampau dan menyokong usul Suruhanjaya Keselamatan PBB untuk mengutuk keganasan rejim Israel. Kami juga menyeru kepada kerajaan Amerika Syarikat supaya menghentikan bantuan ketenteraan bernilai USD 3 bilion setahun kepada Israel.
Akhir sekali, DAP ingin memberi penghargaan dan pengiktirafan terhadap semangat juang 750 orang insan luhur yang datang dari segenap pelusuk dunia termasuk 35 orang rakyat Malaysia dan ahli-ahli politik antarabangsa. Semoga hasrat mereka untuk memecahkan pengepungan Gaza ini tercapai.
Kami juga ingin merakamkan takziah seikhlas hati kepada mereka yang telah kehilangan ahli keluarga dan rakan seperjuangan di dalam serangan tersebut.
**Kenyataan media oleh Tony Pua Kiam Wee di Petaling Jaya pada hari Isnin, 31hb Mei 2010:
No comments:
Post a Comment