Penghujung Ramadhan sudah tiba, dan Syawal akan muncul membuka lembaran baru selepas umat Islam berpuasa selama sebulan.
Bulan Ramadhan yang berlalu, diharapkan dapat memberikan kesan yang mendalam dalam tarbiah insan dan Syawal yang menjelma bakal membawa politik baru kepada negara.
Kita semua telah melihat, bagaimana Umno yang menjadi tulang belakang BN, tidak malu dan segan, dalam bulan Ramadhan yang suci, memfitnah pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat bagi memecah-belahkan masyarakat Malaysia. Lebih teruk lagi ialah isu-isu yang dimain-mainkan ialah isu kaum dan agama, seperti:
1. Gambar palsu menunjukkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyembelih lembu korban telah disebarkan. Gambar tersebut adalah rekaaan PhotoShop dalam komputer dan Lim Guan Eng tidak pernah berbuat begitu.
2. Beberapa masjid di Pulau Pinang telah difitnah menggantikan nama DYMM Agong dengan nama Lim Guan Eng di dalam khutbah mereka, walau pun ia tidak pernah berlaku.
3. Kehadiran Lim Guan Eng di majlis penyampaian wang zakat dipersoalkan walau pun penyampaian wang zakat dilakukan oleh pemimpin beragama Islam dan Lim hadir sekadar Ketua Menteri sahaja.
4. Teo Nie Ching telah difitnah menyampaikan tazkirah oleh akhbar Utusan Malaysia walaupun dia dengan hati terbuka cuma menerima jemputan jawatankuasa surau untuk berucap sepatah dua di dalam surau. Walau pun difitnah, Teo dengan rendah diri telah segera meminta ampun daripada Sultan Selangor dan semua muslimin dan muslimat. Namun begitu, ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab terus menggalakkan pembohongan ini walau pun saya percaya di dalam hati mereka, mereka tahu bahawa tiada siapa yang percaya Teo berniat jahat.
Namun segala fitnah itu tetap fitnah dan Tuhan itu Maha Mengetahui. Fitnah Umno tidak membawa kemana malah menyerlahkan kebodohan mereka sendiri
Saya berharap 1 Syawal yang akan tiba esok dapat menyedarkan dan menginsafkan sebahagian dari rakan-rakan kita yang masih bersama dengan Barisan Nasional, sesungguhnya Barisan semakin rapuh kerana ia semakin reput.
Dengan itu, saya ingin mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri dan memohon maaf kepada semua yang beragama Islam, kawan atau lawan.
Bagi mereka yang akan “balik kampung”, selamat pulang. Sila berhati-hati di jalan raya dan semoga Syawal dapat disambut bersama sanak-saudara dengan meriah.
Ng Chai Hing
Pengerusi DAP
Kuala Terengganu
No comments:
Post a Comment