Wednesday, September 7, 2011

Tidak puas hati jumlah keanggotaan BN



KUALA TERENGGANU – DAP Terengganu menganggap jumlah keanggotaan pembangkang dalam jawatankuasa terpilih parlimen yang dihadkan kepada tiga wakil sahaja sebagai tidak adil.

Pengerusinya, Ng Chai Heng (gambar) berkata, ia dilihat tidak seimbang apabila Barisan Nasional (BN) akan dianggotai lima wakil untuk mewakili jawatankuasa itu.

Beliau berkata, pelantikan sepatutnya lebih adil dengan memberi keseimbangan dari segi jumlah wakil yang akan menganggotai jawatankuasa tersebut supaya sebarang perbincangan bagi memastikan sebarang persetujuan diambil kira secara telus.

“Kalau BN lima wakil, pembangkang tiga wakil sudah tentu ia tidak seimbang dan nampak jelas ia memihak kepada kerajaan, lebih-lebih lagi yang mengetuai jawatankuasa itu adalah menteri.

“Misalnya, kalau ada cadangan dan undian di pihak BN tetapi pembangkang tidak setuju, sudah tentu BN akan menang juga sebab jumlah mereka lebih besar daripada pembangkang. Belum undi pun boleh menang,” katanya.

Jawatankuasa yang dicadangkan itu mempunyai lima keanggotaan dari BN, tiga dari pembangkang dan satu dari Bebas (5-3-1).

Chai Heng berkata, jumlah yang berpihak kepada kerajaan itu sekali gus menunjukkan bahawa pembangkang bimbang jika keadaan lebih berpihak kepada kerajaan.

Sehubungan itu, Chai Heng mencadangkan kerajaan supaya lebih seimbang dengan keanggotaan 3-3-3, masing-masing diwakili kerajaan, pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) terdiri daripada profesional.

“Kalau kerajaan serius, mestilah ia dibuat secara serius dan komited. Jangan sampai orang mempertikai cadangan tersebut.

“Bagi saya 3-3-3 lebih adil berbanding 5-3-1 kerana ia jumlah yang seimbang itu menampakkan keadilan di kedua-dua pihak,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut melahirkan perasaan tidak puas hati dengan pelantikan menteri untuk mengetuai jawatankuasa itu, sebaliknya mencadangkan seorang ahli Parlimen dari pembangkang.

Beliau berkata, pembangkang yang dipilih sebagai ketua itu perlulah dipilih dari kalangan yang tiada kepentingan sebaliknya individu yang benar-benar mahu melihat perubahan yang lebih baik terhadap sistem pilihan raya di negara ini. - SH

No comments:

Post a Comment