Kit Siang bukan muka asing dalam dunia politik negara. Bekas Setiausaha Agung dan bekas Pengerusi DAP Kebangsaan ini kini Penasihat DAP. Kali pertama beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum 1969.
Lulusan jurusan undang-undang ini pernah mewakili kerusi di banyak negeri - Melaka, Selangor, Pulau Pinang dan Perak - berpindah dari satu kawasan ke kawasan lain. Beliau pernah kalah dan banyak kali menang.
Ahli Parlimen Ipoh Timur ini, yang disandang sejak 2004, terkenal dengan projek Tanjong I dan II - dalam usaha merampas kerajaan negeri Pulau Pinang.
Penulis dengar-dengar Kit Siang akan beralih angin kali ini. Dari Melaka ke Pulau Pinang dan kemudian ke Perak.
Jika begitu, ke mana kali ini? Pemerhati politik dan beberapa aktivis PR berkongsi pandangan bahawa nama Kit Siang sudah pun ditimbang untuk bertandang ke Batu Pakat. Kit Siang lahir di Batu Pahat.
Penulis agak terkejut. Tetapi mereka yang bercakap itu cuba meyakinkan dengan teori masing-masing.
Kata mereka, jika Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek akan turun gelanggang di Batu Pahat, Kit Siang akan membawa misinya - yang pernah dilihat khususnya membabitkan Pulau Pinang, ke Johor.
Penulis belum nampak meyakinkan! Penulis kata tidak mungkin.
Mereka seterusnya berkata, ini misi terakhir sebelum Kit Siang berundur dari politik. Beliau mahu membawa 'tembakan' ke atas MCA.
Dakwa mereka, kerusi Batu Pahat yang kini disandang Umno - wakilnya, Dr. Mohd Puad Zarkashi, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, akan dipinjamkan kepada MCA. Sumber itu juga berkata Puad juga tidak gembira dengan kemungkinan perubahan kerana sudah bekerja keras sejak 2008.
Sebelum ini ada desas-desus mengatakan bahawa Soi Lek akan bertanding di Perak.
Apabila penulis bertanya kepada orang dekat dengan pemimpin tertinggi DAP, jelas mereka, ia cuma cakap-cakap nakal. Sengaja dicetuskan untuk memanaskan persekitaran menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.
Masih awal. Apa pun boleh berlaku.
Jika Kit Siang juga turun bertanding di Johor, bermakna beliau orang kedua penting dalam PR akan mencuba nasib di Johor. Naib Presiden Pas, Sallahuddin Ayub, yang beralih angin dari Kelantan. Ia sudah disahkan.
Bagi Kit Siang dan Salahuddin, Johor adalah negeri kelahiran mereka. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment