Saturday, January 5, 2013

GERAKAN sibuk selak kain orang, tidak sedar kainnya cuba ditanggal rakan sendiri


TADI ada pak cik hantar senaskah akhbar Chinese Weekly yang pro-MCA. Tak sempat belek isi kandungannya, melihat kulit pun sudah tepuk dahi. Muka depannya menceritakan bahawa parti berbilang kaum itu dalam bahasa mudahnya, “cakap senanglah, buatnya susah”.

Dalam erti kata lain, mana-mana parti boleh mengaku berbilang kaum, tapi belum tentu dapat merealisasikan kehendak itu. Sekiranya akhbar ini bertujuan memperli DAP maka tidaklah pelik. Dah memang itu kerja geng-geng MCA. Bidang tugas yang diberi UMNO kepadanya barangkali.

Tapi apabila ditenung-tenung muka depan akhbar itu. Kelihatan selain lambang DAP dan PKR, rupanya Gerakan, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pun kena sekali. Nampaknya kegelian geng-geng pro-MCA terhadap parti berbilang kaum sudah di tahap kawan satu Barisan Nasional (BN) pun kena ditibai.

Kesian Gerakan. Di saat dirinya sibuk menyelak tepi kain orang, orang yang rapat dengannya sendiri sedang cuba menanggalkan kainnya. Bahaya betul!

Mungkin sudah tiba masanya parti komponen lain dalam BN mengikuti jejak abang mereka, UMNO dan MCA. Biarlah parti di dalam Pakatan Rakyat saja berusaha bersungguh-sungguh cuba mewakili rakyat Malaysia. Tanpa mengira kaum, agama dan tempat.

Gerakan, PBS dan SUPP misalnya boleh mula mengorak langkah lebih serius menjadi parti berasaskan kaum. Mesti juga banyak belajar dengan abang besar BN bagaimana mahu melihat sesuatu isu daripada sudut perkauman. Gerakan mungkin tiada masalah kerana kelihatan semakin mahir. Yang lain perlu lebih berusaha.

Kawanan BN boleh bersama-sama bergerak ke zaman lampau dengan sekadar memainkan isu kaum. PR sila teruskan usaha memecut ke zaman baru.- Roketkini.com

No comments:

Post a Comment