Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, penyerahan dokumen tersebut penting kerana berdasarkan maklumat yang terkandung didalamnya, ia mungkin melibatkan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said.
“Hari ini, kita (PAS) datang bersama dengan beberapa buah NGO untuk membuat penyerahan dokumen-dokumen penting kepada pihak SPRM Terengganu berkaitan dengan isu pembalakan di negeri ini.
“Kita telah membuat penyerahan dua dokumen yang begitu penting, yang membabitkan tentang rasuah, salah urus dan salah laku pengurusan balak di bawah pentadbiran Dato’ Seri Ahmad Said selaku Menteri Besar Terengganu.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media di pejabat SPRM Terengganu, Wisma Persekutuan, dekat sini, pada Khamis 28 Februari. [Lihat Video]
Beliau berharap pihak SPRM dapat mengambil tindakan lanjut dan hasil siasatan yang positif berhubung penyelwengan tersebut.
Menurutnya, jumlah pembayaran ‘under table’ sebanyak RM2.5 juta yang dikenakan kepada 12 buah syarikat pembalakan tersebut mencecah RM30 juta.
Katanya, tender pembalakan tersebut adalah kategori skim kilang papan (sawmill scheme) telah diluluskan kepada 12 buah syarikat konsesi, dengan setiap syarikat mendapat kawasan seluas 1000 ekar.
“Projek ini adalah projek Skim Kilang Papan (SKP) di mana 12 syarikat telah dipanggil untuk diberikan satu kawasan konsesi balak seluas 405 hektar atau 1000 ekar bagi setiap syarikat. Premium rasmi yang perlu dibayar kepada kerajaan negeri sebanyak RM3,700 sahaja.

Sehubungan itu, beliau selaku Penolong Setiausaha Agung PAS menyarankan kepada mana-mana NGO yang prihatin serta anti penyelewengan dan rasuah agar dapat membuat laporan polis di setiap daerah di negeri ini.
Dua dokumen tersebut telah diserahkan kepada Penolong Pegawai Siasatan SPRM Terengganu, Mohd Fadzil Abd. Jabar kira-kira jam 12.00 tengahari di Pejabat SPRM Terengganu.
Hadir sama adalah Pengerusi Amanah Terengganu, Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah, Presiden Gabungan Anak Terengganu (Gate), Ahmad Amzad Hashim, Setiausaha Ikatan Mantan Adun dan MP Parlimen (Imam) Terengganu, Che Ghani Ambak dan Pengerusi Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Mohd Fauzi Abu Samah.
Sebelum itu, sekitar jam 11.50 pagi, kumpulan terbabit yang diketuai oleh Dr Syed Azman sempat mengadakan demontrasi aman di hadapan pintu masuk Wisma Persekutuan mendesak kerajaan negeri di bawah kepimpinan Dato’ Seri Ahmad Said meletak jawatan sebagai MB Terengganu.
Pelbagai slogan dipamerkan kepada orang ramai seperti “Hasil Negeri BN Rompak”, “MB baham Balak”, “BN Khianat Melayu”, “Siasat Mat Said Segera”, “Rakyat Tolak Rasuah” dan “Balak Milik Rakyat”.
No comments:
Post a Comment