Friday, December 31, 2010

Janji RM500 buat BN hilang arah

KUALA TERENGGANU - Pemimpin Barisan Nasional (BN) jelas kelihatan hilang arah dan gelabah apabila Pakatan Rakyat (PR) berjanji untuk menaikkan RM500 sebulan kepada guru jika PR menerajui negara, seperti yang diumum Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Pengerusi DAP Negeri, Ng Chai Heng berkata, dakwaan sesetengah pihak bahawa negara akan muflis sekiranya ia dilaksanakan, menunjukkan BN takut dengan tawaran yang diberikan oleh PR.

Menurutnya, dakwaan negara muflis itu sangat mengarut dan bertujuan menakut-nakutkan rakyat.

“Kenaikan itu langsung tidak akan menyebabkan negara muflis, sebaliknya akan terus memperkasakan bidang pendidikan kerana kebajikan guru kita bela dan hargai. Mereka tidak sedar bahawa negara yang kini diterajui BN lah yang sedang membawa negara ke arah muflis.


“Terlalu banyak rasuah dan penyelewengan yang berlaku yang tidak menguntungkan rakyat. Itu belum termasuk projek yang membazirkan duit rakyat seperti menara 100 tingkat yang menelan belanja kira-kira RM1 bilion. Itu yang menyebabkan negara hampir muflis,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurut beliau, setiap tahun negara ‘hilang’ RM28 billion disebabkan ketirisan, menyebabkan rakyat terus menderita kerana pembaziran yang tidak sewajarnya.

Katanya, ia berbeza dengan PR yang berjaya mengurangkan pe-nyelewengan dan mengamalkan penjimatan dalam pentadbiran.

“Kita boleh lihat bagaimana Pas masih lagi mendapat kepercayaan rakyat setelah 20 tahun, walaupun pelbagai ‘serangan’ yang dilakukan, tetapi mereka berjaya membangunkan Kelantan dengan cukup cemerlang dan gemilang.

“Mulai 1 Disember lalu juga, Kerajaan Pulau Pinang memberikan bonus sebanyak RM800 kepada kakitangan Kerajaan Negeri, hasil daripada penjimatan dan masalah rasuah yang berjaya dikurangkan. Ini menunjukkan kemampuan PR dan kita tidak bercakap sahaja, tetapi turut membuktikannya,” katanya.

Menurutnya, kenaikan pelbagai jenis barangan baru-baru ini juga menunjukkan bagaimana BN tidak mampu mengawal keadaan dan memperlihatkan siapa yang lebih efektif dalam menguruskan hal ekonomi dan kewangan.

Katanya, rakyat perlu memberi kepercayaan kepada PR untuk membuktikannya dan sekiranya jelas PR tidak mampu, barulah rakyat beralih kerajaan lain.-Sinar Harian

1 comment:

  1. bukan hilang arah tapi kita memandang jauh ke hadapan Puak Parti Pakatan Raja Syaitan hendak musnahkan negara dan jadi gundik kepada IMF.....guru tak sebodoh apa yg difikirkan...kami berkerja demi anak bangsa malaysia untuk membina jenarasi pelapis yg tidak sebodoh puak PR ....moga puak pr fahammmmm

    ReplyDelete