Sunday, June 21, 2009

Longkang Tersumbat Biak Nyamuk, MBKT Diminta Segera Bertindak

KUALA TERENGGANU - Kualiti dan taraf kehidupan Bandaraya Kuala Terengganu terus menjadi rungutan apabila kejadian banjir kilat, berbau busuk dan serangan nyamuk adalah antara fenomena yang menjadi rakan hidup sesetengah penduduk disini.

Mereka yang tinggal disepanjang Jalan Kelantan, Kampung Seberang Baroh mengadu, masalah tersebut telah menjadi ‘jiran rapat’ mereka sejak Kuala Terengganu menjadi sebuah ‘bandaraya’.

Kata mereka, ia adalah kerana kegagalan pihak berkuasa menyelenggara longkang yang tersumbat disepanjang jalan utama tersebut.

Wartawan Buletinonline yang meninjau lokasi berkenaan baru-baru ini telah menemui beberapa orang dari kejiranan itu yang memberitahu, “mereka sudah tidak tahan dengan masalah tersebut dan mendesak tindakan segera mesti diambil oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT)”.

Seorang pengusaha bengkel, Encik Chew Foo Siong, 77, (gambar kanan) mendakwa keadaan longkang tersumbat yang sudah berlarutan, mengundang pelbagai masalah, termasuk mengancam nyawa penduduk.

Beliau berkata, longkang yang sepatutnya mengalirkan air sebaliknya dipenuhi pasir dan sampah sarap.

“Sudah puas buat aduan, longkang tersumbat dengan pasir, tanah dan sampah sarap.

“Bila hujan (turun dengan) lebat berlaku banjir kilat, air terus masuk dalam rumah saya, dan bau air longkang sangat busuk,” ujarnya.

Katanya, di musim kemarau pula, air longkang yang bertakung menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes.

Menurutnya, serangan nyamuk berlaku setiap petang hingga ke malam hari dan beberapa kes denggi telah pun dilaporkan berlaku di kawasan tersebut.

Beliau yang telah tinggal sejak 42 tahun lalu disitu, benar-benar mengharapkan pihak MBKT segera bertindak.

Seorang penduduk, Encik Lee Teck Khuan, 58, (gambar bawah, kiri) berkata beberapa tahun lalu ada pihak swasta yang dilantik kerajaan negeri menguruskan pembersihan parit dan longkang.

Katanya, namun kini sudah lebih setahun longkang dan parit tidak diselenggarakan meski pun Kuala Terengganu dinaikkan taraf bandaraya sekarang.

“Saya rasa pelik dan hairan sejak dinaik taraf kepada Bandaraya (MBKT) kerja pembersihan longkang dan parit terabai.

“Kami (penduduk) rasa susah hati dan tidak senang duduk dengan masalah banjir kilat, longkang tersumbat, berbau busuk dan gangguan nyamuk,” jelasnya.

Beliau mewakili penduduk di kampung berkenaan mengharapkan pihak bertanggungjawab seperti MBKT lebih prihatin dengan masalah rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi DAP Terengganu, Encik Ng Chai Hing turut mendesak kerajaan negeri mengambil langkah segera menyelesaikan masalah penduduk terbabit.

Katanya, slogan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ gagal direalisasikan dan hanya bersifat retorik.

“Saya minta pihak bertanggungjawab segera ambil tindakan kerana telah menjadi masalah lebih setahun kepada penduduk di sini,” ujarnya.

Menurutnya, imej sebuah bandaraya tercemar dan kerajaan negeri lebih ‘berpolitik’ hingga mengabaikan masalah rakyat. - Buletin Online

No comments:

Post a Comment